BUTTERWORTH - Seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Butterworth di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit pada bulan lepas.
Lukman Abdullah, 33, mengaku bersalah membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, di hadapan Majistret M Kalaiarasi.
Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor di sini dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Lukman turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter kira-kira jam 6 petang pada hari dan tempat sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik dan dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.
Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu atas dakwaan memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamine yang dikesan menerusi ujian di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kira-kira jam 1.30 pagi pada 23 Januari lalu.
Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Lukman mengaku bersalah di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus atas dua pertuduhan iaitu cuba membunuh seorang lelaki warga Pakistan dengan melepaskan satu das tembakan dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api itu tanpa permit kira-kira jam 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kedua-dua pertuduhan sementara kes akan disebut semula pada 31 Mac depan.