'Lebih baik adakan PRU berbanding PRN'

Iklan
Mahfuz (duduk, tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Bertemu Mata Bertanya Khabar Petani di Kampung Atas Kota, Langgar pada Khamis.

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpandangan lebih baik diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan dari satu negeri ke satu negeri.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, tiada keperluan PRN di Kedah diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO menafikan akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan mengadakan PRN seperti di Johor sebenarnya hanya memberikan keseronokan kepada individu tertentu di dalam arena politik bagi memenuhi agenda peribadi mereka.

"Saya tidak dengar ada yang tarik sokongan di Kedah, ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor pun sudah nafi.

Iklan

"Saya secara peribadi dari sudut politik, saya boleh bersetuju tetapi hakikatnya, kalau kita lihat dari segi kehidupan tiada keperluan buat pilihan raya (PRN Kedah)," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Bertemu Mata Bertanya Khabar Petani di Kampung Atas Kota, Langgar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang desas-desus PRN Kedah bakal diadakan selepas beberapa ADUN akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kos untuk mengadakan pilihan raya juga amat besar, namun mampu dijimatkan sekiranya PRU diadakan.

"Bagi saya kalau nak buat pilihan raya kena serentak bukan lagi satu negeri ke satu negeri.

"Negeri Johor kos sampai 150 juta, itu untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja bukan agensi atau jabatan lain. Semua jadi kos, berapa ratus juta kita akan belanja untuk adakan PRN," katanya.

Pada Isnin, Muhamad Sanusi menafikan kerajaan negeri pimpinannya kini goyah susulan dakwaan dua ADUN daripada UMNO akan menarik sokongan.

Malah Nor Sabrina yang dikaitkan dengan tular terbabit turut menafikan dan menyatakan masih menyokong kerajaan negeri.