JOHOR BAHRU - Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor menjelajah ke seluruh parlimen di negeri tersebut bagi memberi kesedaran terutama kepada golongan muda untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Abd Rahman Yunos berkata, siri jelajah selama 10 hari itu dibahagikan kepada lapan zon bermula dari 19 hingga 29 Januari lalu.
"Tujuan siri jelajah ini bagi memberi kesedaran kepada pengundi Melayu terutama golongan muda supaya tidak tersalah memilih calon pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Golongan muda perlu memilih calon yang betul-betul memperjuangkan dan menyatupadukan orang Melayu serta Islam. Sasaran kita pengundi golongan muda dan tekankan kepentingan bangsa Melayu dan Islam.
"Pertubuhan ini juga tidak memihak kepada mana-mana parti politik," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Abd Rahman berkata, menurusi siri ceramah tersebut, pihaknya menjelaskan seruan dan kata-kata pejuang Melayu, Datuk Onn Jaafar supaya bangsa itu bersatu-padu dan mengelak perpecahan yang hanya akan melemahkan mereka.
"Begitu juga dengan kata-kata Datuk Onn Jaafar iaitu apabila Melayu lemah, kedudukan ekonomi mereka akan lemah, orang Melayu juga akan mendapati sukar untuk mengekalkan kedudukan sebagai bumiputera," katanya.
Menurutnya, peringatan tokoh Melayu tersebut disampaikan dalam ceramah menerusi aktiviti jelajah tersebut tanpa mengira latar belakang politik.
Katanya, usaha itu merupakan teras perjuangan pertubuhan tersebut untuk membela orang Melayu yang masih belum selesai khususnya dalam kalangan orang muda.
"Saya berharap semangat ini dapat dikongsi dan diperkembangkan kepada orang Melayu. Perpaduan orang Melayu sangat penting bagi menjamin pucuk pimpinan negara kekal di tangan orang Melayu Islam," katanya.