Kontrak Jaganathan tidak disambung, bakal galas tugas baharu

Iklan

KETUA Jurulatih Skuad Olahraga Para Kebangsaan, R Jaganathan sah tidak akan meneruskan tanggungjawabnya membimbing skuad itu bagi memberi laluan kepada jurulatih lebih muda dalam meningkatkan prestasi barisan atlet para negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, badan induk itu mengiktiraf sumbangan dan kepakaran Jaganathan selain telah meletakkan beberapa jurulatih muda di bawah kendaliannya bagi menimba ilmu serta pengalaman.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, proses yang sudah bermula sejak beberapa tahun lepas itu adalah langkah persiapan untuk memastikan penghasilan atlet para olahraga bertaraf tinggi dapat diteruskan secara konsisten.

"Jaganathan telah berbincang dengan saya dan menegaskan bahawa temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah temasya sukan terakhirnya dan bersetuju untuk membolehkan proses kesinambungan itu berlaku," katanya pada sidang akhbar Status Pelantikan Jurulatih Para Olahraga di MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

Iklan

Ahmad Shapawi, berkata tugas ditinggalkan Jaganathan akan digalas pembantunya, Ahmad Rafee Arifin yang telah mula berkecimpung dalam bidang kejurulatihan sejak 2018.

"Kita rasa ini adalah peluang terbaik untuk beri beliau peluang tetapi ia juga tertakluk kepada perbincangan bersama Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) jika kita perlukan khidmat jurulatih lain mengendalikan program para olahraga khususnya dalam menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Iklan

Ahmad Shapawi pada masa sama berkata, MSN dan POPM berpendapat pengalaman dimiliki Jaganathan masih boleh dimanfaatkan dengan memberinya peranan baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Katanya, kedua-dua entiti itu bersama Jaganathan telah berbincang mengenai peranan yang boleh dimainkan jurulatih berusia 64 tahun itu dari aspek pembangunan kejurulatihan para olahraga.

"Apa yang penting khidmat beliau akan tetap ada dalam persekitaran sukan para olahraga negara, wataknya mungkin berbeza tetapi masih penting untuk membangunkan sukan para olahraga secara lebih menyeluruh," katanya.

Sebelum ini, isu rayuan Jaganathan untuk terus kekal dengan jawatannya menjadi tumpuan susulan reaksi jaguh pecut para Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, yang tidak dapat menahan sebak apabila ditanya mengenai nasib jurulatihnya itu ketika temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta.

Sementara itu, Jaganathan turut mengakui sudah sampai masa beliau menyerahkan tugasnya kepada jurulatih muda bagi memberi mereka peluang mempelajari selok-belok pengendalian latihan atlet para.

"Saya percaya dengan semangat orang muda dan komitmen yang diberikan mereka mampu melahirkan atlet-atlet berdaya saing," katanya yang telah bersedia untuk mencurah dan berkongsi segala ilmu berkaitan pengendalian atlet para kepada barisan jurulatih muda.

Beliau juga telah mencapai persetujuan bersama POPM untuk mengendalikan sebarang program yang melibatkan pembangunan kejurulatihan serta pendidikan lanjutan sukan olahraga.

Dalam pada itu, Presiden POPM, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah mengakui negara kekurangan jurulatih yang betul-betul berkelayakan dalam sukan para terutama olahraga.

"Di bawah kepimpinan baharu, kami memikirkan sudah tiba masanya untuk kami melatih jurulatih dan kami merasakan beliau (Jaganathan) adalah orang yang paling layak berdasarkan pengalaman di atas kertas dan di padang, memang terbukti," katanya. - Bernama