Muhyiddin jawab Najib isu 'pengkhianatan'

Iklan
Muhyiddin

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Bersatu telah mengkhianati UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menjadi punca kegagalan Muafakat Nasional.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Iklan
Iklan

SAYA ingin merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Facebooknya yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca Muafakat Nasional gagal. Dia menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam PRN Sabah dan itu adalah satu perbuatan khianat kepada UMNO.

Faktanya tidak ada satu pun kerusi di mana calon Bersatu melawan UMNO dalam PRN Sabah.

Iklan

Sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, BN dan PBS untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah. Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat-mesyuarat ini penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Iklan

Perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa ini. Antara yang terlibat dalam perbincangan mewakili PN dan BN ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Saya dimaklumkan di peringkat awalnya jawatankuasa ini telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti PN, BN dan PBS. Tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.

Di pihak PN, kerusi yang terlibat adalah kerusi-kerusi yang ditandingi oleh STAR bukan Bersatu. Di beberapa tempat berlaku pertembungan antara BN dan PBS.

PBS juga meletakkan calon-calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh STAR menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.

Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti-parti PN, BN dan PBS. Saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil parti PN, BN dan PBS.

Malangnya, mesyuarat ini gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain.

Pada saat ini, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS.

Pas pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.

Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Datuk Seri Najib bahawa Bersatu mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang UMNO dan itu menjadi punca Muafakat Nasional gagal.

Mengenai calon Ketua Menteri Sabah, saya telah menyatakan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO supaya menamakan calon KM Sabah daripada UMNO. Tetapi dia tidak menamakan sesiapa pun sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.

Kerana itu saya telah menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.

Maka PN telah mencalonkan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai KM Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh ADUN-ADUN GRS termasuk UMNO.

Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

DatuK Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal.

Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa memuhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai 'national embarrassment' oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan malu apa bossku.

Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?

Saya sudah lupakan Muafakat Nasional. Tak perlu diungkit-ungkit lagi.

Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional. UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi apa lagi yang hendak diungkit?

Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.

Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss!

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional