Pembantu Pan-gon cetus tanda tanya

Iklan
Pang-gon dijangka melaporkan diri bagi menggalas jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada pertengahan Februari ini.

TEKA-teki siapakah jurulatih tempatan yang akan dipilih menjadi pembantu kepada Kim Pan-gon bagi membimbing skuad Harimau Malaya kini sedang hangat diperkatakan.

Difahamkan, terdapat tiga jurulatih senior yang juga 'nama besar' dalam arena bola sepak tanah air berada dalam senarai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengisi jawatan tersebut.

Iklan
Iklan

Antara nama jurulatih yang dikaitkan bagi mengisi kekosongan itu ialah bekas penyerang berbisa kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yang kini menjadi 'ejen bebas' selepas tidak lagi membimbing Melaka United FC.

Bagaimanapun, FAM tampak masih belum bersedia menamakan individu bagi mengisi kekosongan tersebut tatkala calon masih sedang diteliti pengarah teknikal badan induk berkenaan, Scott O'Donell.

Iklan

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan tidak dapat diputuskan lagi sehinggalah ketibaan Pan-gon di Malaysia pada pertengahan Februari ini.

Beliau memberitahu, jurulatih kelahiran Korea Selatan berusia 52 tahun itu perlu berjumpa dengan bakal pembantunya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Iklan

"Kita susah ada nama calon bagi mengisi kekosongan tersebut tetapi tidak boleh didedahkan nama mereka. Selepas kita senarai pendek calon itu, kita akan beri kepada Pan-gon untuk buat keputusan kerana individu itu akan bekerja bersamanya nanti.

"Mungkin nama individu itu akan diketahui ketika sesi sidang media pertama bersama Pan-gon yang dijangka diadakan pada 16 Februari ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Ditanya mengenai antara kriteria ditetapkan FAM bagi menjawat jawatan itu, Saifuddin berkata, individu terbabit harus mempunyai minat untuk membimbing skuad kebangsaan selain mempunyai pengalaman yang luas mengenai bola sepak tempatan.

"Kita tiada letak ciri-ciri spesifik. Tidak kisahlah dia tua atau muda... yang penting dia ada pengalaman dan berminat untuk bersama Pan-gon bimbing skuad kebangsaan.

"Takut nanti kalau kita letak ciri-ciri spesifik, Pan-gon pula tidak berminat dengan calon tersebut susah pula,” ujarnya yang memaklumkan O'Donell turut bertanggungjawab dalam pemilihan itu.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar menafikan beliau telah menghantar permohonan kepada FAM bagi mengisi jawatan tersebut.

Sambil menyifatkan berita tersebut hanya khabar angin di laman media sosial, Hairuddin berkata, beliau mahu memberi fokus kepada jawatannya kini sebagai penolong kepada jurulatih TFC, Nafuzi Zain.

"Ia hanya ura-ura, saya tidak dapat tawaran lagi setakat ini. Malah, saya juga masih ada kontrak bersama TFC. Jadi sekarang saya hanya mahu fokus kepada tugas saya sebagai penolong jurulatih TFC,” jelasnya.