"SAYA berharap semua akan berlangsung dalam semangat keharmonian keluarga besar Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sekali gus mengakhiri kemelut berpanjangan sebelum ini."
Itu harapan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah menjelang pemilihan kepimpinan baharu badan induk sepak takraw itu pada 12 Februari ini.
"Saya sebagai kepimpinan badan induk sepak takraw negeri dan ahli gabungan Negeri Sembilan tidak minta banyak selain semua calon bertanding dapat bersaing secara sihat jika berlaku pertandingan semasa pemilihan kepimpinan baharu pertengahan bulan ini.
"Sudahlah kita bertelagah sesama sendiri, sudah sampai masa kita memberi sepenuh tumpuan dalam mengembalikan semula martabat sukan sepak takraw negara dengan membawa PSM menyertai semula keluarga Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang diterajui Datuk Abdul Halim Kader.
"Saya percaya Datuk Halim pun akan membantu sehabis baik dalam memastikan PSM kembali semula menganggotai badan induk sepak takraw Asia itu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam segi pembangunan sukan ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Untuk rekod, jawatan nombor satu badan induk itu kosong selepas Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu susulan PSM terpalit isu dengan ASTAF.
Dalam pada itu, Wan Mohd Husni turut memberi bayangan beliau tidak akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden PSM.
Pencalonan bagi pemilihan kepimpinan baharu sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM akan dibuka dua minggu sebelum pemilihan 12 Februari depan manakala tarikh tutup pengesahan calon ialah seminggu sebelum itu.
Wan Mohd Husni turut berharap kepimpinan baharu PSM aktif memperkasa semua program pembangunan di peringkat akar umbi dengan melibatkan kerjasama kementerian bertanggungjawab bagi melahirkan lebih ramai pelapis pada masa depan.
"Apa yang lebih penting selepas ini juga adalah keluarga besar PSM dapat kembali memberi sepenuh tumpuan meletakkan kembali sukan warisan negara ini kembali ke landasan yang tepat dan memastikan pembangunan akar umbi juga akan kembali disemarakkan.
"PSM boleh mengambil pendekatan proaktif dengan mewujudkan program di setiap sekolah di seluruh negara bermula dengan program tunas libas harapan di sekolah rendah manakala program tunas libas cemerlang di sekolah menengah,” ujarnya.