KUANTAN - Lukisan mural kisah rakyat dan identiti negeri Pahang pada dinding di lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar dikenali Kuantan Art Street sekali lagi dicemari budaya vandalisme oleh individu tidak bertanggungjawab.
Tinjauan di Kuantan Art Street mendapati terdapat beberapa kerosakan aksesori tambahan pada lukisan mural seperti papan luncur dan meja kopi serta kerosakan lain.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, terdapat beberapa elemen kerosakan yang dikesan selepas melakukan tinjauan dan penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di Kuantan Art Street.
Menurutnya, seorang pengunjung juga dikesan memanjat struktur basikal yang dijadikan aksesori di Kuantan Art Street dalam rakaman CCTV.
"Tinjauan di Kuantan Art Street pula mendapati beberapa pemilik premis perniagaan di kawasan itu telah membuat tebukan pada dinding dan lantai bangunan terbabit.
"Tebukan itu dilakukan bagi menyalurkan sisa kumbahan dari restoran mereka ke kawasan tersebut selain memasang saluran air.
"Selain itu, kita turut mengesan kerosakan pada aksesori tambahan seperti meja kayu dan papan luncur," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Norkamawati berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu seperti tidak menghargai inisiatif yang dilaksanakan MBK.
Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai dapat menjaga kecantikan dan keindahan mural yang terdapat di kawasan itu.
Seorang pengunjung dari Selangor, Farah Adelia Hafiz, 33, mengakui kecewa apabila melihat aksesori papan luncur dan meja kopi yang dipasang pada lukisan mural itu rosak.
"Kuantan Art Street antara tempat yang menarik untuk dikunjungi, namun semuanya tidak berbaloi jika mural kisah rakyat Pahang ini rosak," katanya.