Barca impian sejak kecil Aubameyang

Iklan
Aubameyang

PIERRE-Emerick Aubameyang teruja dapat menyertai Barcelona menyifatkan peluang sekali seumur hidup, bertekad menjadikan kembali gergasi Sepanyol itu sebuah kelab elit digeruni dan dihormati di pentas Eropah.

"Sememangnya menjadi impian saya untuk beraksi dalam saingan La Liga.

Iklan
Iklan

"Ia merupakan satu peluang luar biasa yang kini hadir dalam hidup saya, malah impian sejak kecil.

"Barca adalah antara kelab terbaik dunia dan saya sangat gembira berada di sini dan akan berusaha meningkatkan semula imej kelab," kata bekas penyerang sensasi Arsenal itu.

Iklan

Aubameyang secara rasmi disahkan menyarung jersi Barcelona di Camp Nou setelah pemain berusia 32 tahun itu dibenarkan meninggalkan Arsenal secara percuma setelah kontraknya ditamatkan secara persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Kontraknya di Barcelona sehingga 2025, namun disertakan klausa pelepasan pilihan pada Jun 2023 termasuk klausa penebusan.

Iklan

Kehadiran Aubameyang yang juga bekas peledak Borussia Dortmund di Bundesliga diharap dapat menyelesaikan masalah ketumpulan penyudah Barcelona sejak kehilangan Lionel Messi yang kini berkhidmat untuk Paris Saint Germain (PSG) di Ligue 1.

Kelab asuhan Xavi itu kini meneruskan baki kempen musim ini dengan fasa penambahbaikan setelah disingkirkan dari saingan Liga Juara-juara di peringkat kumpulan - berada di kedudukan kelima La Liga - 15 mata di belakang Real Madrid.

Aubameyang dijangka membuat penampilan pertama di Camp Nou apabila Barcelona melayan kunjungan Atletico Madrid, yang kini keempat liga satu mata di depan pada Ahad.

Di London sebelum ini, Aubameyang menjaringkan 92 gol dalam 165 perlawanan untuk The Gunners, namun berdepan kedinginan hubungan dengan pengendali Mikel Arteta dalam isu disiplin.