PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel bertekad mengemudi The Blues pada tahap terbaik dengan berbaki beberapa kejuaraan yang masih boleh diraih kelab London tersebut menjelang penghujung musim ini.
Malah bekas pengendali Paris St Germain (PSG) itu menyifatkan The Blues semakin teruja mengharungi baki saingan domestik dan Eropah walaupun mengakui berdepan kesukaran mengekalkan tahap konsisten dalam setiap perlawanan.
"Sejujurnya saya boleh katakan apabila sekali pasukan anda berada dalam kejuaraan seperti ini, secara tidak langsung ia membuatkan semua pemain sangat teruja.
"Kejuaraan ini sebenarnya memerlukan tumpuan dan disiplin yang tinggi dalam menyaingi para pesaing.
"Malah sebaik saja berada dalam pertandingan, setiap pasukan akan mula merancang bagi meraih keputusan yang positif pada penghujung perlawanan,” ujar pengendali berusia 46 tahun dari Jerman itu.
Chelsea yang akan berdepan ke Divisyen Tiga, Plymouth Argyle dalam saingan Pusingan Keempat Piala FA pada Sabtu, bakal memulakan kempen Piala Dunia Kelab pada Khamis depan, mengintai peluang untuk menjadi kelab Inggeris ketiga menjulang kejuaraan tersebut selepas Manchester United dan Liverpool.
Untuk rekod, Tuchel mendakap beberapa kejuaraan bersama kelab London itu sebelum ini antaranya gelaran Liga Juara-juara selepas menewaskan Manchester City 1-0 pada final musim lalu, diikuti Piala Super Eropah selepas mengatasi Villarreal menerusi penentuan penalti pada Ogos.