RANTAU - Pemilihan bekas calon PRU14, Dr S Streram sebagai calon PH dalam PRK DUN Rantau adalah disebabkan jiwa berperikemanusiaannya .
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meletakkan Streram di DUN Rantau bukanlah bermakna nasib orang Melayu diabaikan ekoran Streram mempunyai sifat sukarela yang tinggi.
"Beliau merupakan seorang doktor, seorang pakar bius yang pernah memberi khidmat sukarela sehingga Afghanistan, menolong orang Islam yang cedera parah dan orang Islam yang susah di Sudan.
"Beliau membantu tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
"Semangat sukarela yang tinggi, sanggup bergadai nyawa di luar negara dalam peperangan, itu merupakan kriteria yang tepat sebagai calon," katanya ketika berucap dalam majlis pengenalan calon PRK DUN Rantau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden PKR Negeri Sembilan merangkap ADUN Sikamat , Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Terdahulu, Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram diumumkan sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau pada 9 April ini.
Sementara itu, Streram ketika ditemui berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai doktor sukarelawan di Afghanistan pada tahun 2010 selama sebulan.
"Manakala pada tahun 2015 saya sepatutnya menyertai satu lagi misi kemanusiaan di Syria tetapi kerana kekangan masa dan tugas, saya tidak dapat turut serta.
"Maka peluang tersebut saya akan manfaatkan di sini dan akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DUN Rantau," katanya.