SHAH ALAM - Sebanyak 29 kumpulan masyarakat sivil terdiri daripada persatuan penduduk dan aktivis alam sekitar mahu pihak berkuasa menyiasat penjualan tanah hutan secara komersial yang didakwa berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu turut membongkar beberapa iklan dalam talian yang didakwa menawarkan kawasan tanah hutan untuk dijual secara komersial di Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Kenyataan itu menambah, Rimba Disclosure Project (RDP) yang merupakan badan bebas memperjuangkan perlindungan hutan hujan di Malaysia telah mengenal pasti 43,539 hektar tanah dalam hutan simpan terdiri daripada tanah adat orang asli cuba dijual melalui 28 penyenaraian di beberapa laman web termasuk Facebook pada 2021.
"Sebahagian besar tanah yang diiklankan ini akan ditukar kepada tanah pertanian dengan pajakan selama 99 tahun,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan penjualan dan penukaran guna tanah yang diiklankan, kumpulan itu menuntut penemuan berkenaan didedahkan kepada umum dan mahu tindakan sewajarnya diambil jika ada berlaku pelanggaran undang-undang.
Malah kumpulan itu turut menggesa menteri besar, jabatan perhutanan negeri terlibat serta semua jabatan berkaitan yang dikaitkan dengan pentadbiran tanah menyiasat secara terperinci isu penjualan hutan melalui iklan dalam talian.
"Tuntutan dibuat berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh RDP, yang merupakan badan bebas yang memperjuangkan perlindungan hutan hujan di Malaysia.
"Kami bimbang kemungkinan penerokaan tanah akan menyebabkan kehilangan biodiversiti dan degradasi tanah termasuk krisis iklim yang boleh menjadi punca banjir berlaku.
"Semua kerajaan negeri mesti memastikan undang-undang, dasar dan amalan pemuliharaan dihormati bagi menghentikan penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti seperti yang dinyatakan dalam beberapa dasar dan komitmen negara,’’ kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menggesa kerajaan negeri melindungi hutan bukannya menjual kawasan hutan tanah negeri kepada syarikat swasta.
Malah kumpulan itu mendakwa hutan yang cuba dijual dikategorikan sebagai hutan dara.
"Beberapa penyenaraian dalam iklan terbabit turut menawarkan tanah yang berada dalam hutan simpan dan sekurang-kurangnya satu penyenaraian menawarkan tanah secara langsung dalam kaitan habitat CFS untuk dijual.
"Ia meliputi Kompleks Hutan CFS Greater Taman Negara dan Kompleks Hutan CFS Banjaran Utama. Pemindahan hutan kepada status tanah persendirian akan menyebabkan pengurangan kawalan negeri ke atas hutan, yang pada asasnya merupakan aset awam,’’ jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu mendakwa penjualan berlaku melibatkan tanah di kawasan sensitif ekologi, seperti wilayah Ulu Tembeling yang sangat terdedah kepada berlakunya banjir setiap tahun.
"Manakala Gua Musang dan Terengganu pula semakin terdedah kepada konflik hidupan liar dan manusia seperti harimau dan kes tanah runtuh di Lojing.
"Penyelewengan undang-undang dalam beberapa penyenaraian menyifatkan tanah yang terletak dalam hutan simpan sebagai tanah kosong atau pertanian," ujar kenyataan itu.