PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) bakal dibina di bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam, Selangor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan antara cadangan langkah jangka pendek dan panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi penyelesaian masalah banjir.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang bermesyuarat pada Khamis secara dasarnya bersetuju untuk membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China serta mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda," katanya.
Menurutnya, penyelesaian secara komprehensif itu memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit dan memakan masa panjang.
"Mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kampung-kampung yang berada di tepi sungai berisiko banjir akan pindahkan ke kawasan lebih tinggi.
"Kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan bagi tujuan sama," katanya.
Ismail Sabri berkata, sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta sistem amaran awal banjir lumpur akan dibangunkan.
"Sebanyak 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik yang sedia ada telah usang akan dinaik taraf, penebangan hutan juga akan dikawal selain kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira risiko banjir," katanya.
Ujarnya, kerajaan akan mengenalpasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan tandas, bilik mandi dan stor penyimpanan keperluan asas.
"Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberi tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.
"Sungai-sungai utama akan dinaiktaraf dengan mendalamkan dan melebarkannya," katanya.
Terowong SMART di Kuala Lumpur yang dibuka pada 7 April 2007 adalah dwifungsi iaitu menyelesaikan masalah banjir kilat dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik harian di ibu negara ketika waktu puncak.