PEMAIN baharu Brentford, Christian Eriksen berkemungkinan beraksi dalam beberapa minggu lagi selepas melaporkan diri untuk menjalani latihan pada Isnin ini.
Begitupun, Eriksen hanya diberikan 'lampu hijau' untuk membuat penampilan sulung bersama Brenford jika dia berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh sesi latihan itu.
Iklan
Iklan
Pengendali Brenford, Thomas Frank berkata, Eriksen tidak akan diturunkan ketika menentang Everton dalam aksi pusingan keempat Piala FA pada Sabtu berikutan dia kini berlatih bersama bekas kelabnya, Ajax.
"Fizikal Christian (Eriksen) berada dalam keadaan terbaik dan dia sudah melakukan pelbagai jenis ujian sebelum ini. Dia sudah banyak berlari, berlatih dan melakukan banyak perkara beberapa bulan lalu.
"Namun, satu perkara dia perlu lakukan ketika ini adalah untuk menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan. Sukar untuk mengatakan dia bersedia. Apa-apa pun kita akan tahu keputusannya pada Isnin ini,” katanya.
Pada Isnin lalu, Brentford mengumumkan mengikat pemain tengah Denmark itu - tujuh bulan selepas dia mengalami serangan jantung pada kempen Euro 2020 tahun lalu.
Eriksen dilepaskan Inter Milan pada Disember tahun lalu kerana syarat perubatan Itali yang tidak membenarkan pemain yang menggunakan alat bantuan jantung beraksi dalam saingan Serie A.