KUALA KEDAH - Jadual perjalanan penumpang feri dari Terminal Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi terpaksa diubah mengikut keadaan air pasang surut bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Penyelia Operasi Langkawi Ferry Line Sektor Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata, ketika ini fenomena air pasang surut turut berlaku di Kuala Kedah dan kebiasaannya situasi itu akan berlaku setiap bulan.
Beliau menjelaskan laluan masuk ke Terminal Feri Kuala Kedah dan Terminal Feri Kuala Perlis memiliki alur yang agak cetek.
"Jadi, perjalanan feri kena ikut air pasang surut. Itu yang penting dan jikalau kita tidak ikut, ia akan mengundang bahaya kepada feri dan penumpang, risiko terkandas atau feri alami kerosakan.
"Maka kita akan atur perjalanan dari hari ke hari dan adakalanya ada perubahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ketika diminta mengulas mengenai perubahan jadual perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi dari sebelah pagi ke sebelah petang, Ahmad Azizan berkata, ia disebabkan alur cetek pada waktu pagi.
"Sekarang, air surut di waktu pagi maka jadual diubah ke waktu petang ataupun tengah hari, yang mana jadual perjalanan sedikit lewat berbanding sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa merujuk pada buku panduan jadual air pasang surut bagi keselamatan penumpang dan feri yang hendak ke pulau lagenda tersebut.
Menurutnya, terdapat kira-kira enam trip perjalanan pergi dan balik melibatkan kira-kira 2,600 penumpang dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi setiap hari.
"Kemungkinan kita akan tambah trip perjalanan, bagaimanapun jadual perjalanan ini mungkin hingga ke malam. Namun kita juga fikir risiko, sekali gus akan bincang semula dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan JLM untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat permintaan penambahan perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi.
"Untuk pembelian tiket, ada dua cara iaitu pembelian dalam talian melalui Cuti-Cuti Langkawi dan datang terus ke kaunter. Jadi, kita harap penumpang merancang perjalanan memandangkan situasi air pasang surut,” katanya.
Sementara itu, penumpang, Roslan Basri, 50, berkata, dia yang datang dari Kuala Lumpur memiliki urusan kerja di pulau lagenda memilih trip dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi selepas membuat semakan perjalanan.
"Melalui semakan, kami dimaklumkan laluan dari Kuala Perlis menuju ke Pulau Langkawi tidak banyak berikutan alur air cetek,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, mereka mengambil inisiatif memilih perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi untuk kelancaran urusan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 423 penumpang terkandas selepas feri terakhir perjalanan ke Kuala Perlis yang dijadualkan berlepas pada jam 2 petang dari Terminal Feri Penumpang Kuah di sini mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, kesemua penumpang selamat tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sekitar jam 11 malam pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, orang ramai yang berhasrat bercuti ke Langkawi menggunakan feri dari Terminal Jeti Kuala Perlis pada 10 hingga 13 Februari ini disarankan memilih laluan alternatif lain untuk ke pulau legenda terbabit.
Menurut notis yang dikeluarkan Cuti-Cuti Langkawi Sdn Bhd, operasi feri dari Kuala Perlis ke Langkawi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis diberhentikan susulan paras air laut surut ke tahap rendah.