PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa serta selepas cuti Tahun Baharu Cina dikenalpasti punca gangguan bekalan telur ayam.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, terdapat juga ladang- ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti perayaan itu selain ada yang bercuti lebih daripada dua hari.
"Semua itu menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis serta Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari ataupun 930 juta sebulan di seluruh negara.
"Berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Malaysia, sebanyak 839,281,658 biji telah dikeluarkan pada Disember 2021," katanya.
Beliau berkata, unjuran pengeluaran telur ayam bagi Januari 2022 pula adalah sebanyak 839,882,296 biji.
"Sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan," katanya.
Azman berkata, peratusan itu menunjukkan bahawa bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu untuk memenuhi permintaan semasa pengguna Malaysia.
"Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil apabila ladang dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi," katanya.
Ujarnya, KPDNHEP telah mengarahkan supaya semua peruncit untuk memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.
"Kementerian juga telah mengarahkan supaya peruncit-peruncit melaksanakan pembelian terhad jika perlu untuk memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli dan menikmati telur ayam," katanya.
Sebelum ini media melaporkan beberapa negeri terputus bekalan telur ayam di pasaran sehingga menimbulkan keluhan pengguna.