'Serahkan semula mandat kepada rakyat jika terus mengugut' – Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM –"Jika ugut-mengugut terus berlaku, baik serahkan semula mandat kepada rakyat," kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, ramai keliru dengan mendakwa bahawa kerajaan hari ini adalah Kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) memandangkan Perdana Menteri adalah daripada UMNO.

Iklan
Iklan

"Negara tidak akan stabil dan gagal memperoleh keyakinan dan kepercayaan komuniti perniagaan apatah lagi pelabur asing jika kerajaan dalam keadaan tidak mempunyai mandat sebenar rakyat dan boleh berubah serta diugut pada bila-bila masa.

"Sebab itulah pendirian saya dan Pemuda UMNO sejak dari awal tidak pernah bersetuju untuk mendirikan kerajaan melalui pintu belakang. Cuma menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersedia untuk membubarkan Parlimen kerana rakyat berhadapan dengan pandemik setelah jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkenaan parti itu yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan bukannya UMNO.

"Hakikatnya, ini bukan kerajaan BN/UMNO, tetapi sebuah kerajaan campuran atau lebih tepat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 atau dijenamakan sebagai Kerajaan Keluarga Malaysia.

Iklan

"Realitinya, UMNO hanya mempunyai 37 kerusi Parlimen (jika ditambah MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadikan 41), sedangkan Parti Perikatan Nasional (PN) menjadi komponen terbesar dengan 53 kerusi membabitkan Bersatu(32) + Pas (18) + STAR (1) + Bebas(2). Komponen lain yang membentuk kerajaan termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), 18 dan Bersatu (2),” jelasnya.

Asyraf menambah, sebab itu apabila beliau (Wan Saiful) mula mendedahkan dengan nada mengugut bahawa sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bersyarat, pastinya mampu menggoyahkan kedudukan kerajaan.

Jelasnya, sememangnya antara syarat utama apabila Perdana Menteri ke-9 dilantik, sokongan bersyarat termasuklah untuk dikekalkan anggota kabinet yang sama di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta yang lain-lain.

"Dalam keadaan sebegini pastinya tidak mudah bagi seorang Perdana Menteri yang bukan mewakili parti terbesar dalam kerajaan untuk menentukan hala tuju jelas apatah lagi mahu melakukan tindakan berani memperkenalkan dasar-dasar berkepentingan rakyat jika sentiasa diugut dan diancam (tekan button/tarik sokongan) daripada parti seperti PN yang mempunyai komposisi terbesar,” ujarnya.