KUANTAN - Bekalan ayam mentah di pasar basah dan gerai di sekitar daerah ini didakwa semakin berkurangan sejak awal bulan ini.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Basah Kuantan dan Pasar Balok mendapati ayam yang dijual licin dalam tempoh tiga jam kerana pembekal dan pemborong mengehadkan bahan mentah itu kepada peniaga.
Ada juga peniaga mendakwa tidak dapat berniaga beberapa hari lalu disebabkan ketiadaan bekalan.
Seorang peniaga, Rokiah Man, 60, mengakui berdepan kekurangan bekalan bahan mentah itu sejak beberapa hari lalu kerana pembekal mengurangkan jumlah bahan mentah itu.
"Sebelum ini saya boleh menjual 70 hingga 100 ekor ayam mentah setiap hari tetapi sejak beberapa hari lalu hanya sebanyak 40 ekor sahaja dibekalkan," katanya.
Bagaimanapun, Rokiah mempersoalkan ketiadaan bekalan itu kerana dia memperoleh ayam bersaiz besar.
"Jika benar kekurangan bekalan, kenapa saya masih mendapat ayam berzaiz besar? Jadi saya tidak nampak ada masalah kekurangan bahan mentah itu sebaliknya ada pihak menyembunyikannya kerana penetapan harga oleh kerajaan," dakwanya ketika ditemui di Pasar Balok pada Jumaat.
Pada 1 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 sekilogram bermula Sabtu hingga 5 Jun depan.
Pengumuman itu menyebabkan pengurangan sebanyak 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10 sekotak bagi ayam standard.
Rokiah yang sudah 20 tahun berniaga ayam mendakwa pengumuman itu mungkin menjadi punca penternak mengehadkan pengeluaran bekalan.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melakukan siasatan bagi mengetahui punca sebenar bekalan dihadkan," katanya.
Ali Akbar Othman, 50, pula memberitahu membeli bekalan ayam kira-kira 100 ekor untuk jualan hari biasa dan menambah sehingga 200 ekor pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bergantung kepada permintaan.
Tambahnya, permintaan pengguna menggalakkan namun bekalan ayam tidak mencukupi ketika musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
"Kali ini, bekalan ayam diterima sangat terhad dan saya hanya memperoleh bekalan antara 40 ekor sahaja berbanding pesanan antara 80 hingga 100 ekor kerana pembekal memaklumkan tiada stok.
"Ini masalah biasa setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan atau penurunan harga tetapi peniaga dan pengguna jadi mangsa," katanya.
Sementara itu, Rohaya Bakar, 59, pula mendakwa dimaklumkan bekalan ayam berkurangan kerana penternak membekalkan bahan mentah itu dalam kuantiti sedikit."Apabila peladang menjual ayam pada jumlah tertentu, pembekal dan pemborong terpaksa akur namun kita sebagai peniaga pula berdepan tekanan bekalan tidak cukup.
"Kita minta kerajaan memikirkan kaedah terbaik menangani isu ini kerana pendapatan peniaga hanya melalui aktiviti penjualan. Kita terpaksa tutup kedai jika tiada bekalan," katanya.
Hasnizawati Zakaria,40, pula memaklumkan hanya dapat menjual 40 ekor ayam kepada pelanggan berbanding kira-kira 80 ekor sebelum ini.
"Tak sampai tiga jam,ayam saya habis dijual sedangkan masih ramai pelanggan menanti mendapatkan bahan mentah itu.
Saya tidak tahu punca bekalan dihadkan tetapi ramai peniaga mendakwa pengumuman kerajaan faktor penternak tidak menjual ayam seperti sebelum ini," ujarnya.
Hamda Busu, 53, mengakui tidak menerima bekalan ayam seperti yang sepatutnya sejak dua hari lalu kerana pembekal dan pemborong mengehadkan pembelian.
"Mereka mendakwa bekalan di peringkat ladang tidak mencukupi sedangkan ayam yang kami terima bersaiz besar.
"Kami yakin penetapan harga RM8.90 oleh kerajaan menjadi punca penjualan ayam diperingkat ladang dikurangkan dan kerajaan perlu segera tangani masalah ini," ujarnya.