Tiada ancaman air pasang besar di Kuala Muda setakat ini: APM

Iklan
Gambar Hiasan

SUNGAI PETANI - Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di kawasan Kuala Muda, di sini antara Selasa lepas hingga Sabtu, setakat ini tidak membawa ancaman kepada penduduk khususnya di kawasan pantai di daerah itu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, peningkatan paras air laut berlaku secara normal dan ia tidak mendatangkan risiko kepada penduduk.

Iklan
Iklan

"Pemantauan air pasang besar di Kedah ada dua tempat iaitu kawasan Kuala Muda dan Kuala Kedah dan tahun lepas ada kawasan terjejas ekoran fenomena itu tapi untuk kali ini ia diramalkan berlaku di Kuala Muda.

"Kita telah mengerahkan anggota ke lokasi yang dijangkakan berpotensi berlaku air pasang besar untuk ramalan kali ini dan berdasarkan laporan petugas di lapangan walaupun air pasang berlaku tetapi ia tidak begitu serius,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pemantauan dilakukan di dua lokasi iaitu pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dengan berpandukan maklumat hidrografi yang dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional serta Jadual Ramalan Air Pasang Surut Malaysia.

Katanya, pada jam 2 pagi Jumaat aras air di kedua-dua lokasi itu dikesan naik ke sekitar 1.3 dan 1.5 meter iaitu bacaan normal dan tidak mencapai paras yang diramalkan iaitu 2.26 meter.

Iklan

Awang Askandar berkata, komuniti atau penduduk di kawasan pantai Kuala Muda tidak perlu bimbang dengan keadaan itu, namun mereka perlu sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Pusat Hidrografi Nasional sebelum ini mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia mulai 1 hingga 5 Februari.

Selain Kuala Muda, kawasan lain yang diramal berhadapan dengan fenomena itu adalah Pelabuhan Klang dan Sabak Bernam, Selangor; Bagan Datuk, Perak serta Batu Pahat dan Pontian di Johor. - Bernama