KULAI - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memuktamadkan senarai calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senarai calon berkenaan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
"(Kita akan memuktamadkan) segera, sesegera mungkin. Kita kira ada beberapa hari lagi," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui ketika program 'walkabout' di pekan Kelapa Sawit di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalannya, Jimmy Puah Wee Tse.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang akan melancarkan Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Double Three Hilton, Johor Bahru pada jam 9 pagi Sabtu.
Sementara itu, Jimmy Puah berkata, perbincangan akhir mengenai senarai calon PKR negeri yang bertanding akan dilakukan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat berkenaan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor pada 9 Februari ini.
Menurutnya, PKR negeri akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor kali ini berbanding 12 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).
Bagaimanapun katanya, PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) sedang berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan pembahagian kerusi.
"Kita sudah berunding dengan Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrul Ab Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd Aziz berkenaan pembahagian kerusi sebelum Tahun Baharu Cina.
"Kita rasa lebih berat untuk bekerjasama dengan Muda berbanding parti lain dan setakat ini tiada perbincangan dengan parti pembangkang lain (parti pembangkang di luar komponen PH).
"Kerjasama itu akan menyaksikan parti komponen PH (PKR, DAP dan Parti Amanah Negara) secara bersama akan menyerahkan sebahagian kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi kepada Muda," katanya.
Apabila ditanya sama ada Jimmy Puah akan kembali dicalonkan dalam PRN Johor, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu itu berkata, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan diputuskan kepimpinan peringkat Pusat.
Mengulas mengenai program dijalankan, beliau berkata, program itu bukan satu kempen dijalankan PKR sebaliknya merupakan tentatif dalam siri jelajah dua hari Anwar ke negeri ini.