Muda mahu SPR ambil langkah tingkat peratusan mengundi PRN Johor

Iklan
Syed Saddiq (kiri) bertemu dengan orang ramai selepas Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Al-Mizan Satay House, Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelbagai langkah bagi memastikan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah tinggi.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya peratusan mengundi rendah, keadaan itu akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi gabungan itu peluang untuk kembali berkuasa.

Iklan
Iklan

"Rakyat Johor yang berdepan kesukaran untuk pulang mengundi seperti mereka yang berada di Sabah dan Sarawak serta di Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu diberikan kelonggaran untuk mengundi secara undi pos.

"Bagi kira-kira 200,000 rakyat negeri ini yang berada di Singapura pula, benarkan mereka membuang undi di kedutaan Malaysia di negara republik itu.

Iklan

"Muda merayu SPR memudahkan pengundi di luar untuk balik mengundi atau memudahkan melaksanakan hak mereka. Ini adalah tanggungjawab SPR untuk pastikan peratusan keluar mengundi tinggi," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Al-Mizan Satay House di sini pada Jumaat.

Iklan

Ahli Parlimen Muar itu berkata, perbincangan antara Muda dengan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama bagi mendepani PRN Johor berjalan lancar.

Begitupun beliau enggan mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu serta jumlah kerusi yang akan ditandingi Muda pada PRN Johor.

Menurutnya, perincian lanjut mengenai perbincangan itu akan diumumkan secara bersama dengan parti komponen PH selepas mencapai kata sepakat apabila tiba masanya.

"Apabila kita sertai pilihan raya, untuk kita berjaya membawa pembaharuan yang menyeluruh, penting kita kurangkan musuh dan banyakkan kawan khususnya kawan yang percaya dan ingin membawa politik pembaharuan.

"Fokus Muda ketika ini bukan sekadar rundingan kerusi yang akan ditandingi. Sebab itu, kita buat Kempen Jelajah Mendengar dengan menyasarkan kira-kira sejuta orang dalam tempoh dua ke tiga minggu supaya dapat merangka dasar yang menyeluruh," ujarnya.