MANJUNG - Seorang warga emas ditemui sudah meninggal dunia dalam bilik air di kediamannya di Taman Guru Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Jumaat.
Keadaan lelaki berusia 63 tahun itu disedari anak perempuan mangsa selepas mengesyaki ayahnya terjatuh dan tidak sedar dalam bilik air yang terkunci sekitar jam 9.30 pagi
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, anggota bomba telah dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa dengan memecahkan pintu bilik air.
"Setelah pintu air berjaya dipecah dan dibuka, didapati terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan duduk di tepi kolam air dan sinki dalam bilik air tersebut tanpa berpakaian.
"Mangsa seterusnya disahkan mati di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Seri Manjung," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan polis setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Katanya, polis dimaklumkan mangsa menghidap penyakit kanser prostat dan disyaki kematian ada kaitan dengan penyakit berkenaan.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.