JURULATIH skuad para olahraga kebangsaan, Ahmad Rafee Ariffin bersedia meneruskan legasi bekas Ketua Jurulatih R Jaganathan dalam melonjakkan pencapaian atlet di pentas antarabangsa.
Ahmad Rafee berkata, beliau akan berusaha sehabis daya untuk membimbing barisan atlet para olahraga ke arah prestasi lebih cemerlang berpandukan pengalaman dan ilmu yang diraih sepanjang menjadi Pembantu Ketua Jurulatih kepada Jaganathan sejak 2018.
"Saya akan cuba yang terbaik untuk memberikan yang terbaik, niat saya pun nak bantu atlet kerana saya dulu juga seorang atlet.
"Jadi saya faham apa peranan perlu dimainkan untuk bantu mereka supaya dapat pergi lebih jauh lagi,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menyasarkan Kejohanan Antarabangsa Olahraga Para Fazza di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Mac depan sebagai medan ujian pertamanya untuk melihat tahap kemampuan barisan atlet.
Katanya, kejohanan itu juga bakal memberikan pendedahan berguna kepada atlet dalam persediaan mereka menghadapi temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung September depan.
Ahmad Rafee berkata, bagaimanapun sehingga kini, pihaknya masih belum mendapat ketetapan berhubung penyertaan kontinjen Malaysia ke kejohanan di Dubai.
Pada Khamis, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan kontrak Jaganathan sebagai Ketua Jurulatih skuad olahraga para kebangsaan tidak disambung untuk memberi laluan kepada jurulatih lebih muda dalam meningkatkan lagi prestasi barisan atlet para negara.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ahmad Rafee menjadi calon pilihan MSN untuk menggalas tugas yang ditinggalkan Jaganathan. - Bernama