JAKARTA - Dua terkorban, termasuk seorang rakyat Malaysia dalam kejadian gempa yang berlaku di Lombok hari ini.
Berdasarkan pendataan pukul 8 malam ini oleh Badan Nasional Pengurusan Bencana ( BNPB), dua terkorban, 44 cedera dan hampir 500 rumah musnah dalam kejadian gempa bumi bermagnitud melebihi 5 Skala Richter petang tadi.
Iklan
Iklan
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan berkata antara yang terbunuh ialah seorang rakyat Malaysia iaitu Datin Tai Siew Kim, 56 tahun.
"Dua yang terkorban dalam kejadian gempa itu berlaku di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Kabupaten Lombok Utara yang berada di bawah kaki Gunung Rinjani.
Seorang yang terkorban itu warga Malaysia dan seorang lagi warga Indonesia akibat ditimpa material tanah runtuh," katanya.
Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku jam 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok -Nusa Tenggara Barat.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, jam 2.09 petang.- Bernama