SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih hari pencalonan untuk memberi bayangan atau menamakan calon Ketua Menteri Sabah.
Katanya, pada masa itu adalah permulaan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan niat Muhyiddin juga dapat dilihat.
"Dia (Muhyiddin) kata cuma beri ‘bayangan’ siapa KM (Ketua Menteri), bukan umum. Tetapi kenapa pula pilih hari pencalonan untuk beri bayangan atau namakan KM sedangkan itu cuma permulaan kempen PRN?
"Memang nampak sangat niat dia dari mula ialah untuk pilih calon Bersatu sebagai Ketua Menteri dan bukan dari UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
Perang mulut antara Muhyiddin dan Najib berhubung PRN Sabah berterusan pada Jumaat.
Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu menuduh Najib tidak dapat memahami ‘bahasanya’.
Dalam hantaran di Facebook, Muhyiddin berkata beliau menyebut nama Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah ketika itu hanya sebagai cadangan.
Jelasnya, ia masih tertakluk kepada persetujuan daripada parti lain termasuk UMNO yang bekerjasama dengan Bersatu pada PRN.