KUBANG PASU - Anggota Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 tidak gentar dengan ancaman musuh di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha membanteras jenayah di kawasan terbabit.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 18 Senoi Praaq, Deputi Superintendan Mohd Sail Hassan berkata, anggota batalion berkenaan mempunyai integriti tinggi dan digeruni penyeludup di sempadan.
Katanya, kejadian anggota PGA Batalion 3 (Senoi Praaq), mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut ditembak oleh musuh di sempadan dua tahun lalu juga tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang.
"Kita tahu anggota Batalion 3 pernah ditembak oleh penyeludup di kawasan TS9, tetapi saya tegaskan kami daripada Batalion 18 Senoi Praaq, tidak gentar dan takut untuk bertugas.
"Malah kami lebih bersemangat untuk menjaga kawasan keselamatan sempadan Kedah dan Perlis sebab ini melibatkan maruah dan juga kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui di Markas Taktikal (Martak) PGA Bukit Kayu Hitam, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, PGA menjalankan tiga bentuk penugasan iaitu rondaan kenderaan menggunakan motosikal dan pacuan empat roda; rondaan jalan kaki dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).
"Kesemua bentuk penugasan ini bagi tujuan pemantauan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke kawasan Batu Putih di Kuala Perlis,” katanya.
Mohd Sail berkata, anggota bertugas juga memberi tumpuan di kawasan hotspot seperti di TS9 dan TS10 berhampiran pagar sempadan.
Katanya, PGU dan anggota di darat sentiasa berkongsi maklumat serta memberi sokongan dan kerjasama dalam penugasan di sempadan terutamanya di kawasan Batu Putih yang tidak berpagar dan bertembok.
"Sebaik sahaja terima maklumat daripada PGU, kita akan buat kawalan dan mengambil tindakan serta-merta untuk mencegah kemasukan penyeludup.
"Unit PGU ini lebih kepada tinjauan dan pemantauan kawasan yang tidak boleh dilalui unit rondaan bermotosikal dan juga kenderaan pacuan empat roda.
"Kita juga memerlukan unit udara untuk mengesan aktiviti penyeludupan yang agak jauh dari kawasan pos kawalan sedia ada,” katanya.
Mohd Sail menambah, selain bantuan PGU, mereka juga mempunyai kelengkapan dron di Charlie 6 untuk meningkatkan lagi pengawasan sempadan.
Menurutnya, Batalion 18 menamatkan penugasan pada 3 Februari setelah sebulan bertugas di sempadan Malaysia-Thailand.
"Tugasan diserahkan kepada Batalion 1 yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak,” katanya.
Pada 21 Januari lalu, Batalion 18 berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram ganja mampat bernilai RM4.4 juta di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis.
Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis pada sidang akhbar berkata, rampasan dibuat berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima.
Katanya, dalam kes berasingan, batalion berkenaan turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri yang mengandungi sebutir peluru 12 bolt dimiliki seorang suspek dalam tangkapan ketum di Wang Kelian pada 18 Januari lalu.