Parti politik Melayu hilang keupayaan, kepercayaan

Iklan
Mohd Sayuti

KOTA BHARU – Parti politik Melayu kini dilihat tiada lagi keupayaan dan tidak saling percaya mempercayai antara satu sama lain sehingga menjadikan ia bukan lagi ejen penyatuan masyarakat dalam negara.

Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, masyarakat sudah tidak yakin dengan integriti yang ada pada parti politik dalam negara.

Iklan
Iklan

"Tidak berbangkit sama ada perlu diadakan pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Namun cadangan itu memperlihatkan bahawa ketidakseragaman berlaku dalam politik sehingga perlukan pertemuan sedemikian,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang menyeru pemimpin politik dan NGO Melayu mengadakan pertemuan sebelum kedatangan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti bagi menentukan hala tuju masing masing.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Sayuti berkata, Annuar dilihat mempunyai agenda tersendiri di sebalik cadangan berkenaan iaitu melibatkan kepentingan politik secara peribadi selepas tidak dapat berkolaborasi dengan majoriti pimpinan UMNO.

Jelasnya, cadangan itu merupakan usaha peribadi pemimpin itu untuk menggunakan program berkenaan untuk melonjakkan diri sendiri.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pergolakan hubungan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), Mohd Sayuti berkata, perkara berkenaan tidak perlu menunggu keputusan tertinggi.

"Berapa kali lagi untuk ahli bawahan mengambil mandat daripada mesyuarat mereka, sedangkan ia tidak menyelesaikan masalah.

"Perlu tahu isu dan faktor kenapa berlaku perbalahan itu, faktornya kerana kedua parti sudah merasakan mereka tidak perlu bersatu lagi setelah ada kekuatan dan keyakinan lain.

"Ini menjelaskan bahawa permuafakatan mereka sebelum ini adalah wayang dan sandiwara, bukan dibuat berdasarkan keikhlasan, sebaliknya persepakatan itu lebih kepada untuk mempesonakan masyarakat umum khasnya orang Melayu,” katanya.