MESIR dan Senegal akan berentap menentukan pasukan paling layak meraih gelaran Raja Bola Sepak Afrika apabila kedua-duanya bertemu di perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Paul Biya (Olembe), Yaounde awal pagi Isnin.
Menariknya perlawanan ini akan menyaksikan gandingan mantap Liverpool, Mohamed Salah mengetuai Mesir menentang Senegal yang diterajui oleh Sadio Mane.
Kedua-dua The Reds ini akan memainkan peranan mengepalai pasukan masing-masing dengan Mesir mengintai melebarkan rekod kejayaan Piala Negara-Negara Afrika kepada lapan manakala Senegal dalam misi pemburuan gelaran sulung kejuaraan berprestij bola sepak Afrika tersebut.
Salah tanpa berselindung menyatakan keinginan menjulang kejuaraan tersebut bersama The Pharaohs manakala Mane pula tetap optimis Lions of Teranga mampu membawa pulang sesuatu dari Cameroon kali ini.
Senegal antara pasukan pilihan pada kejuaraan ini bergelut dengan permulaan hambar untuk mara ke final buat kali ketiga selepas edisi Mesir 2019.
Lions of Teranga hanya menjaringkan satu gol di peringkat kumpulan B, namun sudah cukup mengungguli saingan fasa tersebut dengan status juara apabila mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri untuk lolos ke pusingan kalah mati.
"Sejujurnya kami sangat menderita dengan peningkatan kes Covid-19 dan isu kecederaan melanda pasukan.
"Ya, kami mengharungi fasa sukar dalam di kejuaraan ini, namun dengan pengalaman, kami melalui setiap perlawanan dengan tenang sehingga kami berjaya mara,” kata Mane.
Semasa permulaan kempen kejuaraan, Senegal bergerak tanpa kapten Kalidou Koulibaly dan penjaga gol Edouard Mendy apabila kedua-duanya positif Covid-19.
Namun perjalanan Lions of Teranga ke perlawanan akhir ternyata lebih mudah berbanding Mesir yang tewas dalam perlawanan kumpulan pembukaan kepada Nigeria dan mendapat kritikan hebat daripada penyokong tuan rumah dalam persembahan awal mereka.
Biarpun begitu The Pharaohs telah memperoleh momentum mengetepikan Ivory Coast dalam penentuan sepakan penalti pada pusingan 16; Maghribi 2-1 selepas masa tambahan pada suku akhir dan menerima kunjungan Cameroon menerusi penentuan penalti sekali lagi pada separuh akhir.
"Kami bermain di tengah-tengah keadaan yang sangat sukar tetapi kami berjaya mengatasinya.
"Kami bermain selama 120 minit untuk tiga perlawanan berturut-turut dan berjaya menyelesaikan tugas demi maruah negara tercinta. Kami akan menentang Senegal dengan keazaman setelah belajar daripada kekalahan kepada Cameroon pada 2017," kata Mahmoud Trezeguet.
Untuk rekod Mesir adalah naib juara edisi 2017 yang menyaksikan Salah dan Trezeguet tampil dan memenangi rekod terakhir tujuh gelaran pada edisi 2010.
Perlawanan akhir ini juga merupakan pentas pemanas badan sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula dalam dua aksi timbal balik pada Mac untuk menentukan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar 2022.