PENGENDALI Mesir Carlos Queiroz dan pembantunya, Wael Gomaa bakal terlepas aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 berdepan Senegal pada Isnin.
Kedua-duanya diperintahkan meninggalkan padang setelah didapati bertelagah dengan pengadil perlawanan, Bakary Gassama ketika saingan separuh akhir pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Queiroz dan Gomaa diperintahkan meninggalkan padang pada masa tambahan selepas mempersoalkan tindakan Gassama yang tidak melayangkan kad merah kepada pemain Cameroon, Nouhou Tolo yang didakwa menumbuk pemain Mesir, Ramadan Sobhi.
Difahamkan sebelum itu Gomaa sudah menerima kad kuning pada aksi suku akhir berdepan Maghribi.
Perlawanan separuh akhir menyaksikan Mesir menewaskan Cameroon 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tamat masa tambahan di Stadium Paul Biya, Olembe itu.
Pada aksi separuh akhir berkenaan, kapten Cameroon, Vincent Aboubakar menjaringkan gol tunggal pada penentuan sepakan penalti berkenaan namun sepakan Harold Moukoudi dan James Lea Siliki berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Abou Gabal manakala sepakan Clinton N’Jie gagal menepati sasaran.
Dalam pada itu, baki sepakan penalti Mesir berjaya disempurnakan dengan baik dan menyaksikan skuad The Pharaohs itu mengesahkan slot beraksi di pentas final berdepan Senegal pada Isnin.