WALAUPUN pernah menewaskan Burkina Faso 2-1 pada aksi Kumpulan A, kapten Cameroon, Vincent Aboubakar berharap rakan-rakan sepasukannya dapat memberi fokus untuk berdepan Burkina Faso bagi penentuan tempat ketika Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 pada Ahad.
Menurut Aboubakar, kemenangan berkenaan sudah menjadi sejarah dan kini kedua-dua pasukan bertemu pada peringkat berbeza.
Mengakui kecewa gagal ke final selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Mesir pada Jumaat, skuad The Indomitable Lions itu perlu menewaskan Burkina Faso bagi mengubati kekecewaan berkenaan.
"Kita memang kecewa apabila tewas pada separuh akhir walaupun beraksi di depan penyokong sendiri.
"Oleh itu, untuk penentuan tempat ketiga ini, semua pemain perlu memberikan aksi terbaik kerana sekurang-kurangnya, ia akan mampu mengubati kekecewaan apabila gagal mara ke final pada edisi AFCON kali ini," katanya.
Bagaimanapun, kapten Cameroon itu tetap mengingatkan pemain supaya lebih bersedia kerana walaupun pernah menewaskan Burkina Faso pada aksi peringkat kumpulan lalu, bukan bermakna ia akan memberikan laluan mudah bagi merealisasikan kemenangan.
Pada aksi separuh akhir berdepan Mesir, Cameroon tewas menerusi 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan apabila tamat masa tambahan perlawanan.
Mengulas mengenai kegagalan menyempurnakan tiga sepakan penalti pada penentuan sepakan penalti berkenaan, Aboubakar berharap ia tidak mempengharui semangat pemain untuk mempamerkan aksi lebih mantap.
Katanya, hanya kemenangan dan meraih tempat ketiga AFCON kali ini akan dapat mengubati kekecewaan kegagalan skuad The Indomitable Lions itu mara ke final.
"Saya harap perkara itu (gagal sempurnakan penalti), akan memberikan kesan kepada psikologi pemain bagi perlawanan penentuan tempat ketiga kali ini,” katanya.