HULU TERENGGANU - Sebanyak 3,000 biji telur ayam habis dijual hanya dalam tempoh setengah jam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang di sini pada Sabtu.
Pengurus sebuah pasar raya di Kuala Berang, Mohammad Ridzwan Abdullah berkata, telur ayam gred C itu dijual pada harga RM11.50 untuk 30 biji berbanding harga pasaran RM11.70 kepada pengunjung yang datang bermula jam 8.30 pagi.
"Hari ini bekalan telur ayam ada 100 papan dan kita hadkan jualan hanya satu papan kepada seorang pengunjung namun licin dalam masa setengah jam.
"Jualan ini masih diteruskan esok tapi jumlah bekalan telur masih belum tahu berapa banyak kerana bergantung kepada stok semasa," katanya kepada pemberita pada PJKM di Dataran Pasar Tani Kuala Ping di sini pada Sabtu.
Selain telur, barang keperluan harian lain seperti minyak masak peket, ayam, daging, sayur dan ikan turut dijual pada harga 20 peratus lebih murah dari pasaran.
Seorang pengunjung, Zaleha Harun, 49, ketika ditemui berkata, jualan keluarga Malaysia membolehkannya mendapatkan bekalan telur untuk kegunaan harian.
"Saya datang seawal jam 8 pagi dan dapat beli sepapan telur sebab terhad. Memang bekalan telur sekarang payah jadi berbaloi datang ke sini kerana dapat juga beli barang lain dengan harga lebih murah," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, PJKM di Kuala Ping merupakan program ketiga diadakan di Parlimen Hulu Terengganu bagi memberi kemudahan penduduk kawasan ini mendapatkan barangan lebih murah.
"Selepas ini, kita akan adakan program sama di kawasan Manir pula pada masa terdekat," katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.