SHAH ALAM - Aliran trafik dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur (KL) sesak sepanjang 12 kilometer (km) tengah hari pada Sabtu.
Keadaan itu ekoran orang ramai mula kembali semula ke ibu kota selepas pulang ke kampung halaman berikutan cuti sempena Tahun Baharu Cina.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Twitter rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu LLM Trafik pada jam 1.34 tengah hari.
"Trafik sesak 12 km dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi (arah KL). Hati-hati memandu," ciap LLM Trafik.
Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1, Anih Berhad sebelum ini meminta pengguna mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dikeluarkan mereka bagi mengelakkan berlaku kesesakan.
Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi berkata, ia kerana syarikat menjangkakan jumlah trafik yang agak tinggi memandangkan ini kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat Cina di Malaysia dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarga di kampung halaman.
Cadangan itu bagi pengguna yang pulang ke kampung dari 29 hingga 31 Januari ini dan perjalanan kembali semula ke ibu kota dari 2 hingga 6 Februari depan.