KLUANG - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman diumumkan calon baharu Pakatan Harapan (PH) di DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Keputusan itu menyaksikan Muhammad Taqiuddin dari Parti Amanah Negara (Amanah) dipilih bertanding di kerusi DUN berbeza pada PRN kali ini menggantikan penyandangnya, Muhamad Said Jonit yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain calon berkenaan, PH turut mengumumkan penyandang kerusi bagi DUN Mengkibol, Chew Chong Sin untuk kembali bertanding sebagai calon di DUN berkenaan.
Pengumuman kedua-dua calon itu dilakukan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu majlis di Jalan Ismail di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Taqiuddin menang kerusi DUN Pulai Sebatang dengan undian sebanyak 14,507 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Tee Siew Kiong dan Pas, Baharom Mohamad.
DUN Mahkota yang merupakan kerusi dimiliki Amanah pada PRU14 dimenangi Muhamad Said dengan undian sebanyak 19,507 mengalahkan calon BN, Datuk Md Jais Sarday dan Pas, Muhammad Hasbullah Md Najib.
Sementara itu, di DUN Mengkibol, Chong Sin memenangi kerusi itu dengan undian sebanyak 29,559 mengalahkan calon BN, Chin Sim Lai.