KUALA LUMPUR - Polis masih menunggu laporan bedah siasat seorang orang kena tahan (OKT) yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang pada Khamis.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, ini adalah prosedur utama siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman.
"Kita masih lagi menunggu laporan penuh bedah siasat dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR).
"Segala usaha telah dibuat agar siasatan telus dan rapi ke atas semua kematian yang dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau memberitahu, pada tahun ini ada tujuh kematian OKT berlaku dalam tahanan atau di bawah jagaan polis.
"Masyarakat dinasihatkan jangan membuat sebarang spekulasi atau menimbulkan isu tanpa sebarang bukti.
Perbuatan itu akan membangkitkan kegelisahan orang awam dan menganggu fokus siasatan," ujarnya.
Pada 3 Februari lalu, seorang OKT yang sedang direman untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu ditemui tidak sedarkan diri di lokap Balai Polis Pandamaran.
Pegawai perubatan dari HTAR yang membuat pemeriksaan mendapati OKT berusia 35 tahun itu telah meninggal dunia.