NIBONG TEBAL - Kerajaan negeri akan menilai semula kedudukan syarikat pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung berikutan insiden kebakaran yang berlaku dalam mesyuarat yang akan diadakan pada minggu depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) akan membentangkan laporan kejadian itu dalam mesyuarat EXCO untuk menggariskan langkah dicadangkan terhadap syarikat terbabit.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menilai prestasi syarikat berkenaan sejak ia dilantik menguruskan tapak pelupusan berkenaan pada 2012.
"Selepas pembentangan laporan itu satu penilaian akan dibuat, sebelum mengambil sebarang tindakan ataupun sebarang keputusan terhadap syarikat terbabit.
"Isu konsesi dan lain-lain akan tertakluk kepada laporan yang dibentangkan oleh BKT dan PBT untuk Exco melakukan penilaian sekali gus membuat keputusan berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Terdahulu Kon Yeow bersama Jagdeep mengadakan lawatan susulan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, pada pagi Sabtu bagi melihat perkembangan semasa berikutan insiden kebakaran yang berlaku sebelum ini.
Kon Yeow berkata, walaupun kebakaran di tapak pelupusan sampah itu sudah dapat dikawal hampir 100 peratus dipadamkan namun kerja-kerja susulan masih dilakukan di kawasan berkenaan.
Jelasnya, kerja susulan masih diteruskan termasuk melakukan ‘fire break’ dan menambun tanah merah bagi memastikan tiada kebakaran lain akan berlaku.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, penduduk di sekitar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan kualiti udara yang masih belum selamat.
Katanya, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram juga masih belum dibenarkan beroperasi semula.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bacaan kepekatan gas mencatatkan penurunan selepas beberapa kali hujan turun di sekitar tapak pelupusan sampah.
"Kualiti udara bertambah baik selepas beberapa hari hujan dan terdapat penurunan dari segi kepekatan gas, manakala stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) SJKT Ladang Byram menunjukkan bacaan IPU sederhana,"katanya.