PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari mempamerkan prestasi cemerlang, apabila mengatasi lawan pada ranking lebih tinggi untuk mara ke separuh akhir kejohanan Cincinnati Gaynor Cup 2022 di Ohio, Amerika Syarikat pada pagi Sabtu.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Cincinnati Country Club, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mudah membenam cabaran pemain ranking ke-23 dunia Tinne Gilis dari Belgium, dengan meraih kemenangan bersih 3-0.
Pada aksi set pertama, Sivasangari tidak berdepan masalah mendahului 8-4, sebelum Gilis bangkit mengikat kedudukan 10-10, namun pemain ranking ke-26 dunia itu berjaya mengawal rentak permainan untuk mengutip dua mata berharga, bagi mengesahkan kemenangan 12-10.
Beliau tampil dengan permainan lebih agresif pada set kedua untuk mencatat kemenangan selesa 11-2, serta terus konsisten sehingga ke set terakhir untuk merekodkan keputusan 11-8.
Pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan pagi esok, atlet kelahiran Kedah itu akan bertemu pemain tuan rumah, yang juga pilihan kelima kejohanan Olivia Fiechter.
Fiechter mengejutkan rakan senegara dan pilihan kedua, Amanda Sobhy di suku akhir.
Dua wakil negara, Aifa Azman dan Rachel Arnold sebelum itu menamatkan saingan lebih awal, selepas masing-masing terkandas di pusingan pertama dan kedua kejohanan itu. - Bernama