Pengusaha bot laut dalam persendirian rayu isu awak-awak warga asing

Iklan
Pemilik bot laut dalam persendirian mengadakan bantahan secara aman di Dewan Kampung Peramu, pada Sabtu bagi merayu penangguhan pelaksanaan PLKS yang didakwa membebankan.

KUANTAN - Seramai 45 pengusaha bot nelayan laut dalam persendirian di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor berisiko gulung tikar akibat kos yang terlalu tinggi untuk membawa masuk awak-awak dari negara jiran.

Pemilik bot kelas C dan C2 itu mendakwa, kos membawa masuk awak-awak warga asing dari Thailand mencecah lebih RM3,400 seorang termasuk bayaran Pas Lawatan Kerja Sosial (PLKS) yang membebankan.

Iklan
Iklan

Mereka mendakwa setiap bot memerlukan 20 hingga 25 awak-awak untuk beroperasi dan kos yang perlu dikeluarkan antara RM68,000 hingga RM85,000 tidak termasuk tambang dan perbelanjaan lain.

Jumlah itu tidak termasuk kos terpaksa dikeluarkan untuk membaiki bot dan peralatan yang rosak mencecah RM100,000 sehingga RM300,000 selepas hampir dua tahun tersadai akibat pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

Pengerusi Persatuan Nelayan Laut Dalam Pahang, Md Yusery Md Yusof berkata, golongan nelayan terlibat merayu kepada kerajaan supaya mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan PLKS dengan bayaran RM1,400 bagi setiap awak-awak warga asing yang dibawa masuk melalui laluan darat ketika ini.

Menurutnya, selain bayaran PLKS, pemilik bot juga terpaksa membayar sewa hotel RM200 sehari selama tujuh hari untuk proses kuarantin bagi pekerja yang dibawa masuk.

Iklan
Md Yusery Md Yusof

"Sewajarnya, buat sementara waktu kerajaan membenarkan kemasukkan awak-awak warga asing ini menggunakan permit masuk pekerja seperti dilaksanakan sebelum ini.

"Kami juga memohon kerajaan membenarkan proses kuarantin awak-awak warga asing ini dilakukan di atas bot masing-masing," katanya dalam sidang akhbar bagi merayu penangguhan PLKS di Dewan Kampung Peramu di sini,pada Sabtu.

Md Yusery berkata, rata-rata pemilik bot kini tersepit tanpa modal mencukupi untuk memulakan operasi selepas hampir dua tahun tidak turun ke laut.

"Sekiranya beban ini pula terpaksa ditanggung, besar kemungkinan bot-bot kami akan tersadai lebih lama," katanya.

Bagi pengusaha bot Kelas C2, Tengku Adnan Tengku Husin, 59, kelonggaran kerajaan membuka laluan darat bagi kemasukkan awak-awak warga asing tidak membantu sekiranya mereka dibebankan dengan pelbagai syarat dan kos terlalu tinggi.

Tengku Adnan Tengku Husin

Menurutnya, dia memerlukan 25 awak-awak asing untuk bekerja di atas bot miliknya dan kos terpaksa ditanggung mencecah RM85,000 tidak termasuk kos pembaikan bot dan peralatan serta lain-lain perbelanjaan.

"Tambahan pula ketika ini, kemasukan pekerja asing untuk bekerja di atas bot difahamkan dihadkan hanya 30 orang sehari.

"Langkah itu juga tidak banyak membantu kerana jika kemasukan pekerja secara berperingkat, kami tetap tidak dapat turut ke laut sehingga pekerja cukup malah terpaksa menanggung mereka yang sudah tiba," katanya.

Tengku Adnan berkata, selama dua tahun ini dia kehilangan hasil mencecah RM3 juta mengambil kira hasil tangkapan RM150,000 sebulan sebelum ini.

"Sudahlah hilang pendapatan, hutang bank terpaksa bayar, kerosakan bot perlu dibaiki dan bila ada peluang untuk kembali ke laut, timbul pula masalah lain," katanya.

Menurutnya, syarat dikenakan itu mungkin tiada masalah bagi syarikat yang mempunyai banyak bot namun membebankan bagi pemilik bot laut dalam persendirian.

"Justeru kami minta kerajaan tangguh dahulu PLKS ini untuk satu tempoh sewajarnya supaya kami dapat turun ke laut bagi menampung kerugian ditanggung selama ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik bot, Che Ghazaib Che Man, 58 berkata, pemilik bot sepertinya sebelum ini sudah mula menarik nafas lega apabila kerajaan memberi kelonggaran dengan membuka laluan darat di sempadan negara untuk membawa masuk awak-awak dari Thailand.

Che Ghazaib Che Man

"Kamimengemukakan rayuan berhubung perkara ini melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Rayuan itu dibuat memandangkan sebelum ini hanya laluan udara dibuka untuk tujuan itu di mana kemasukan pekerja asing perlu melalui agensi pelancongan dengan kos jauh dari kemampuan iaitu lebih RM12,000 seorang," katanya.

Menurutnya, dengan apa yang berlaku ketika ini, nasib pemilik bot nelayan laut dalam persendirian terus tidak menentu.

"Jika rayuan tidak diberi perhatian, kami akan terus menanggung kerugian dan kemungkinan lebih ramai terpaksa gulung tikar," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan, Talib Hussin berkata, pihak persatuan simpati dengan masalah dihadapi pemilik bot yang kini begitu tertekan berikutan peraturan baharu dikeluarkan kerajaan.

Talib Hussin
Menurutnya, sebelum ini persatuan menghantar surat sokongan supaya kerajaan membenarkan kemasukan awak-awak warga asing untuk meneruskan aktiviti dalam sektor perikanan dan permohonan berkenaan telah diluluskan.

"Saya turut merayu kepada kerajaan supaya mengkaji semula bayaran kemasukan awak-awak warga asing supaya tidak membebankan pemilik bot persendirian bumiputera ini," katanya.