SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga melaksanakan rondaan dan pemantauan di perairan pantai timur Sabah.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, elemen dalam Maritim bersedia untuk diatur gerak pada setiap masa.
"Maritim mempunyai dua Pasukan Tindakan Khas (PTK) di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan satu pasukan PTK di Kota Kinabalu, Pasukan Tindakan Khas ini sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa.
"Setiap hari sejumlah 22 buah kapal dan bot serta pelbagai aset Maritim berada di laut untuk tugas rondaan dan pemantauan di bawah pengawasan ESSCom," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Selain itu katanya, aset udara Maritim turut diatur gerak untuk menjalankan rondaan dan pemantauan.
"Maritim turut menghantar secara berjadual pesawat udara ke perairan pantai timur Sabah bagi tugas rondaan.
"Sekiranya keadaan mendesak serta krisis meningkat, kita bersedia untuk mengerahkan pesawat udara dari Subang dan akan ditempatkan di Sabah," katanya.
Menurutnya, unit risikan Maritim juga sentiasa bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi mendapatkan maklumat.
"Maritim sentiasa proaktif apabila bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendapatkan maklumat aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan di perairan pantai timur Sabah.
"Kami sentiasa bersiap sedia meskipun tugas dan peranan Maritim lebih kepada penguatkuasaan, cari serta menyelamat secara umumnya tetapi aset dan anggota kami sentiasa bersedia untuk menghadapi semua kemungkinan termasuk pertempuran di laut," katanya.
Pada Rabu, PDRM menyatakan pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah termasuk menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.
Menurutnya, walaupun lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah tetapi kawalan keselamatan tetap dilaksanakan.
"Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM)," katanya selepas menghadiri Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan pada Rabu.