IPOH - Seorang lelaki yang mengamuk selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka ketika membeli makanan di sebuah restoran di Taman Ipoh Timur, di sini ditahan polis.
Kejadian yang berlaku pada Jumaat itu tular di media sosial selepas video mengenainya mendapat perhatian warganet.
Difahamkan kejadian berlaku ketika suspek membeli makanan tetapi tidak memakai pelitup muka yang kemudian ditegur orang awam.
Teguran itu menyebabkan suspek berang dan beredar sebelum kembali semula ke kedai tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari membawa sebatang kayu rotan panjang ke kaunter restoran memecahkan skrin komputer, mesin pengimbas suhu dan cermin gerai di kaki lima restoran itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Jumaat dan berjaya memberkas suspek yang merupakan warga tempatan.
Menurutnya, suspek yang berusia 30-an disiasat di bawah 324 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan khianat.
"Polis Ipoh terkesan video-video memaparkan kejadian khianat dan mendatangkan kecederaan dilakukan seorang lelaki warga tempatan.
"Susulan siasatan yang dilakukan, suspek berjaya diberkas. Pihak polis juga telah memperoleh perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga 8 Februari bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada waris suspek pada Sabtu memaklumkan suspek dipukul orang ramai di tempat kejadian.
Katanya, siasatan mengenai kejadian tersebut masih dijalankan merangkumi semua aspek.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak melangkaui undang-undang atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa juga keadaan.
"Orang ramai juga diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video-video tersebut yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.
Menerusi video yang tular berdurasi 1:27 minit itu, beberapa peralatan restoran tersebut dilihat mengalami kerosakan manakala pada penghujung rakaman itu seorang lelaki dipercayai suspek dipukul oleh orang ramai.