KUALA LUMPUR - Aliran trafik yang meningkat dan perlahan dijangka berlarutan sehingga tengah malam ini atau awal pagi Ahad di lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang, susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baharu Cina.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata, setakat jam 4.30 petang Sabtu, trafik perlahan di laluan ke arah barat di Bentong Timur menuju ke Bukit Tinggi dan laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Iklan
Iklan
"Kesesakan turut dilaporkan dari arah selatan dari RNR (kawasan Rehat dan Rawat) Tapah ke Bukit Beruntung, dan dari arah barat ke arah ibu kota di laluan Bentong Timur ke Plaza Tol Bentong," katanya,
Selain itu aliran trafik juga didapati perlahan di laluan selepas Plaza Tol Bentong ke Lentang terus ke Bukit Tinggi, berikutan jumlah kenderaan yang meningkat di jalan raya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama