KUALA TERENGGANU – Aksi dua pelayan kedai makan menunjukkan lagak ‘wheelie’ dan ‘superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan sempena Op Selamat 17 di Besut pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki pertama merupakan remaja berusia 19 tahun berasal dari Machang, Kelantan ditahan pada jam 1.30 tengah hari di Jalan Bukit Keluang.
"Dia dikesan menunggang motosikal secara merbahaya dengan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) dalam jarak 100 meter secara berulang kali.
"Lelaki kedua berasal dari Jabi ditahan di Jalan Keruak, Hulu Besut pada jam 7.05 malam kerana menunggang motosikal dengan aksi menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan kaki ke belakang (superman).
"Dia melakukan gaya itu dalam jarak sejauh 300 meter secara berulang kali menggunakan dua motosikal jenis Honda EX-5 masing-masing berwarna hitam dan biru,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Ismail, hasil keseluruhan operasi diadakan selama lapan jam bermula 12 tengah hari itu, seramai tujuh individu ditahan dan enam motosikal disita di atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran palsu serta memiliki enjin dan casis motosikal secara haram.
"Seorang lelaki berusia 24 tahun pula ditangkap selepas polis menemui 180 biji pil berwarna putih disyaki dadah di bawah tempat duduk motosikal digunakan suspek di kawasan Pantai Air Tawar," katanya.
Beliau memaklumkan, dalam operasi sama diadakan serentak di seluruh negeri pada Jumaat, sebanyak 357 saman dikeluarkan kepada pengguna motosikal di atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, menggunakan nombor plat ‘fancy’, gagal menunjukkan lesen memandu, tidak memakai topi keledar, memandu bawah umur dan aksesori tidak sempurna.
"Kita akan meneruskan operasi dari masa ke masa bagi memastikan kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal dapat dikurangkan. Selain itu, Op Lancar juga turut diadakan supaya tiada kesesakan lalu lintas,” katanya.