Kerjasama dengan Indonesia untuk perhotelan, pelancongan kesihatan

Iklan
Muhammad Jailani

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan menjalin kerjasama dengan wilayah Pekanbaru dan Dumai, Indonesia bagi mendapatkan tenaga buruh bagi mengisi kekosongan dalam sektor perhotelan serta pelancongan kesihatan di negeri itu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, usaha itu dilaksana kerana kedua-dua sektor berdepan kekurangan tenaga kerja khususnya dalam kalangan anak tempatan yang kurang berminat untuk mengisi kekosongan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita ada empat hospital swasta dan Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan kesihatan selain mempunyai banyak hotel tetapi menghadapi sedikit masalah kerana rakyat Melaka tidak mahu bekerja pada gaji minimum.

"Jadi antara solusi yang kita boleh buat ialah memberi ruang kepada pelajar Indonesia untuk melakukan latihan industri di Melaka, mungkin dalam tempoh enam bulan dalam kedua-dua sektor," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Kopi Melaka 2022 di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kerjasama itu akan dibincang bersama dengan wakil agensi dan pihak terbabit di Indonesia menerusi lawatan kerjanya ke Jakarta selama seminggu bermula esok (Ahad).

Muhammad Jailani juga berkata, pemain industri pelancongan di Melaka diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara konsisten agar penularan Covid-19 dapat dihindari sekali gus tidak menjejaskan sektor itu.

Iklan

"Kita dapat lihat jumlah kemasukan pelancong ke Melaka agak meningkat terutama pada bulan pertama tahun ini tetapi pada masa sama, kita juga perlu memastikan SOP dipatuhi memandangkan jumlah kes harian Covid-19 semakin meningkat,” katanya. - Bernama