Perak jadikan karya seni lukis sebagai khazanah negeri

Iklan
Saarani (kiri) menyaksikan karya seni yang dipamerkan pada Pameran Seni Visual Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di lobi Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Sabtu.

IPOH - Kerajaan Perak berhasrat menjadikan karya seni yang dihasilkan menerusi Perak Man Art Trail 2021 sebagai khazanah negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, karya-karya seni lukis yang dihasilkan mengambil inspirasi daripada Perak Man dengan mengambil kisah-kisah seperti kehidupan orang asli di Royal Belum, Tasik Raban, Lenggong dan sebagainya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lukisan yang dipamerkan itu juga turut menampilkan kisah tentang tapak geo, arkeologi dan sebagainya sekaligus membantu membangunkan industri pelancongan di negeri ini.

"Sebab itu ia berkolaborasi dengan Tourism Perak kerana kita nak garapkannya supaya kedua-duanya saling dapat membantu menarik perhatian orang ramai menjadikan Lenggong dan Perak ini sebagai destinasi pelancongan.

Iklan

"Jadi kerajaan negeri akan berbincang secara lebih lanjut supaya hasil karya ini kita simpan sebagai khazanah negeri untuk ditonton dan dinilai oleh generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Visual Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di lobi Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persatuan Pelukis Perak, Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim.

Iklan

Saarani berkata, secara dasarnya kerajaan negeri bersetuju untuk menjadikan karya seni visual itu sebagai khazanah negeri dan mengarahkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mewujudkan galeri khusus untuk seni visual.

Jelasnya, galeri sedia ada itu dikenalpasti terletak berhampiran Dewan Bandaran, di sini dan akan dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

"Saya nak lihat balik (galeri) sebab kita ada satu kolaborasi dengan NCIA yang telah membangunkan semula Ipoh Padang, Perpustakaan Tun Razak di dalam kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Jadi kalau NCIA boleh menjadikan galeri itu sebagai tempat untuk kita menyimpan khazanah ini itu sesuatu yang baik, kita akan buat," katanya.

Pameran Perak Man Art Trail 2021 yang mengumpulkan 30 orang pelukis tempatan dan Kuala Lumpur itu akan berlangsung selama seminggu di lobi Hotel Casuarina@Meru, di sini.