BANGKOK - Sekurang-kurangnya 75 peratus pengundi awal yang berdaftar telah mengundi semalam, seminggu sebelum pilihan raya umum Thailand yang ditunggu-tunggu berlangsung.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand Nat Laosisawakul mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana bersabar kerana waktu menunggu yang lama.
Beliau berkata penyisihan kertas undi akan dilakukan dalam tempoh 48 jam akan datang sebelum dihantar ke 350 kawasan pilihan raya dalam masa dua hari, bagi pengiraan rasmi bersama kertas undi yang telah dipangkah oleh pengundi apabila tiba hari mengundi pada 24 Mac.
"Peti-peti undi akan dikawal pada tahap keselamatan maksimum,” kata beliau pada sidang media selepas pusat mengundi awal ditutup semalam.
Pengundian awal adalah untuk pengundi mengundi di luar kawasan pilihan raya mereka menunaikan hak mereka sebelum hari mengundi.
Pengundi mula beratur di pusat-pusat mengundi sejak sebelum subuh. Walaupun panas dan menunggu lama, rakyat Thailand menunjukkan semangat yang tinggi dan teruja untuk mengundi.
Pengundian bermula pukul 8 pagi dan akan berakhir pukul 5 petang semalam itu di 380 pusat mengundi di seluruh negara. Bagaimanapun, mereka yang telah mendaftar tetapi tidak keluar mengundi hari ini tidak layak untuk mengundi pada 24 Mac.
Lebih 51 juta pengundi berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi pada Ahad depan. Setakat 1 Februari, terdapat 24,801,527 pengundi lelaki dan 26,618,448 pengundi wanita yang layak mengundi di negara itu.- Bernama