BELURAN - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika melalui Sungai Sugut di Kampung Panindakan Sugut, Paitan, di sini, pada Jumaat lalu.
Mangsa Gontawas Ellang, 69, dilaporkan hilang selepas keluar ke Kampung Salan, Sugut dengan menaiki perahu untuk membeli barang keperluan dapur kira-kira jam 8 pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, isteri mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.59 petang Sabtu.
"Kami dimaklumkan mangsa keluar menaiki perahu pada awal pagi Jumaat lalu dan sehingga kini masih belum pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, sepasukan bomba membabitkan tiga anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 135 kilometer dari BBP Beluran.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan sejak Sabtu namun tidak mendapat sebarang petunjuk sebelum disambung pagi Ahad.
"Keadaan cuaca yang kurang baik menyukarkan SAR dan operasi belum dimulakan setakat pagi ini," katanya.