SEREMBAN - Gandingan jiran tetangga dan Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) membantu kebajikan dan hal keagamaan dua anak yatim beragama Islam yang kini tinggal bersama neneknya beragama Hindu di Senawang di sini wajar dipuji.
Tanpa ada rasa prasangka terhadap V Chandra, 62 yang kini berperanan sebagai ibu dan bapa kepada dua cucunya, Jasmine Hawa Abdul Nur, 16 dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 14, kesemuanya menghulur tangan membantu secara sukarela.
Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, kedua-dua anak yatim berkenaan dijadikan sebagai ahli khas persatuan itu bagi memastikan soal kebajikan dan hal-hal keagamaannya dipelihara.
Menurutnya, nenek kedua-dua remaja itu juga sangat terbuka dan mengalu-alukan usaha persatuan.
"Di peringkat persatuan, kita rasa kes dua beradik Islam ini sangat istimewa dan pentingnya peranan kita bersama untuk memastikan akidah mereka dipelihara walaupun tinggal dengan nenek beragama Hindu.
"Bagi saya tiada masalah untuk mereka tinggal bersama asalkan soal keagamaan itu dijaga dan yang penting kehidupan anak-anak ini terbela selepas ibu mereka meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Zulkifli berkata, apa yang menarik kerana jiran-jiran sangat membantu dan mengambil berat manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani juga telah turun padang menziarahi keluarga terbabit.
Rasa bertanggungjawab penuhi hasrat ajar mengaji
Sementara itu jiran warga emas berkenaan, Selasawati Ali, 62, dengan rela hati membantu kedua-dua remaja itu mengajar mengaji selepas diminta oleh nenek mereka.
Tanpa mengenakan sebarang bayaran, Selasawati setiap minggu akan datang ke rumah Chandra untuk mengajar cucu-cucunya mengaji.
"Sepanjang kami berjiran, saya tak pernah tahu pun dia (Chandra) ada cucu beragama Islam. Tapi suatu hari saya nampak cucu-cucunya memegang al-Quran.
"Saya bertanya lebih lanjut kepada Chandra dan dia sendiri yang minta bantuan untuk membantu cucu-cucunya belajar mengaji," katanya.
Kata Selasawati, keikhlasan Chandra untuk memastikan cucu-cucunya tidak tertinggal untuk mendalami al-Quran sangat terserlah.
Ujarnya, jika lambat datang untuk mengajar mengaji. Chandra yang akan menghubunginya.
"Sebab itulah sebagai jiran, saya rasa bertanggungjawab sangat untuk membantu dan Chandra pun saya tengok sangat mengambil berat," katanya.
Sementara itu Noraini Kamaruddin, 33,yang tinggal berjiran dengan warga emas itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia rapat dengan Chandra yang disifatkan seorang jiran yang baik.
Katanya, wanita itu menjadikannya sebagai tempat rujukan memandangkan dia tinggal seorang diri.
"Anty (Chandra) ini juga kurang faham Bahasa Melayu, apa saja urusan dia akan rujuk pada saya termasuklah soal urusan harta arwah anaknya.
"Saya dan suami tiada masalah untuk membantu kerana begitulah hidup berjiran," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kisah Chandra yang kini memikul tanggungjawab menjaga dua cucunya yang beragama Islam selepas ibu mereka meninggal dunia tahun lalu akibat Covid-19.