PENGENDALI Burkina Faso, Kamou Malo menegaskan dia kehilangan kata-kata bagi menggambarkan kekecewaannya setelah skuad The Stallions itu tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada tuan rumah Cameroon, pada Ahad.
Menurutnya, memang agak sukar untuk menerima hakikat kekalahan berkenaan setelah selesa mendahului 3-0 pada sebahagian besar perlawanan sebelum diikat tiga sama dan terpaksa beraksi hingga ke penentuan sepakan penalti.
"Kami hampir muncul sebagai pemenang. Memang sukar dipercayai kerana setelah mendahului dengan tiga gol kami akhirnya tewas pada perlawanan ini.
"Situasi ini turut membuktikan bahawa tiada apa yang boleh ‘menjamin’ kejayaan atau kemenangan sehinggalah ke wisel penamat,” katanya.
Untuk rekod, Burkina Faso membuka jaringan menerusi Steeve Yago pada minit ke-24 sebelum pemain Cameroon, Andre Onana menjaringkan gol sendiri pada minit ke-43 dan Djibril Outtara menjaringkan gol ketiga pada minit ke-49.
Bagaimanapun, Cameroon mempamerkan kebangkitan ‘luar biasa’ pada penghujung perlawanan apabila Stepahane Bahoken menjaringkan gol pada minit ke-71 sebelum Vincent Aboubakar loloskan dua gol pada minit ke-85 dan minit-87 bagi mengikat kedudukan 3-3 dan seterusnya mengheret perlawanan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
Sepakan penalti Blati Traore berjaya diselamatkan penjaga gol Cameroon sekali gus memberikan kelebihan buat skuad The Indomitable Lions itu untuk menyempurnakan baki sepakan untuk muncul pemenang.
Sementara itu Malo berharap agar kecederaan penjaga gol Farid Ouedrago tidak serius dan akan sembuh dalam masa terdekat.
Katanya, Ouedrago mengalami kecederaan setelah berlaga dengan rakan sepasukan bagi menyelamatkan asakan ke gawang Burkina Faso kemudiannya berjaya dimanfaatkan oleh kapten Cameroon, Vincent Aboubakar bagi menjaringkan gol ketiga juga gol penyamaan.
"Akibat kecederaan Ouedrago, kita memasukkan penjaga gol gantian Aboubacar Sawadogo bagi mengekang asakan-asakan Cameroon pada penghujung perlawanan.
"Apa pun, kini kita hanya menanti laporan doktor dan berharap untuk menerima berita yang baik.