TVET Kerajaan-Industri akan wujudkan ekosistem lebih bersepadu

Iklan
Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri akan bersama-sama kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan berkualiti. - Foto 123rf

SHAH ALAM - Penubuhan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem lebih bersepadu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia selari dengan agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran serta memenuhi keperluan masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

"Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri, akan bersama-sama kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan berkualiti.

Iklan

"Menerusi hub kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Institusi tersebut adalah Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, UniKL MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.

Tambah beliau, KPLB mempunyai 279 buah institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

"Antara jalinan kolaborasi TVET dengan pihak industri termasuk kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.

"Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).

"Kolaborasi itu bagi memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran keboleh pasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi,” ujarnya.

Jelas beliau, inisiatif-inisiatif yang dirancang tersebut mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggemblengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya.