Bomba Johor terima lebih 900 panggilan pembakaran terbuka

Iklan
Foto hiasan. Gambar kecil: Yahaya

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima lebih 900 panggilan sejak awal bulan lalu berkaitan pembakaran terbuka akibat cuaca panas.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata daerah Muar dan Pontian yang mempunyai kawasan tanah gambut merupakan kawasan yang paling tinggi merekodkan kes pembakaran terbuka.

Iklan
Iklan

"JBPM Johor memandang serius pembakaran terbuka ini. Sekurang-kurang 30 panggilan diterima JBPM Johor setiap hari berhubung pembakaran terbuka.

"Lokasi pembakaran terbuka ini merupakan tempat yang sama pernah terbakar sebelum ini. Antaranya di kawasan Paya Kopi Pagoh Muar. Selain itu, kawasan tanah gambut untuk aktiviti pertanian turut dikesan kerap berlaku pembakaran terbuka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tahunan di Ibu Pejabat JBPM Johor pada Ahad.

Menurut Yahaya, pemilik tempat pelupusan sampah dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka di kawasan mereka.

Iklan

"Kerja-kerja pemadaman di tempat pelupusan sampah sukar dilakukan dan mengambil masa yang lama kerana kita tidak pasti bahan apa yang terdapat di lokasi pelupusan sampah.

"Oleh itu, pemilik tempat pelupusan sampah perlu memastikan kawasan mereka selamat dan tidak diceroboh oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang kejadian kebakaran," katanya.