ALOR SETAR - Pengguna di sekitar daerah Kota Setar mendakwa berdepan masalah mendapatkan bekalan telur ayam sejak seminggu lepas.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasaraya dan kedai runcit mendapati bekalan telur ayam berkurangan dan kebanyakan rak hampir kosong.
Pengguna, Zaleha Abdul Manaf, 48, berkata, dia tinggal di Kuala Nerang, dekat sini, sering membeli bekalan telur ayam untuk kegunaan keluarga setiap minggu.
Bagaimanapun, Zaleha berkata, bekalan di kebanyakan kedai sering habis dijual dan sukar diperolehi sejak seminggu lepas.
"Setiap minggu, saya memang selalu beli telur ayam tetapi sekarang ingin mendapatkan bekalan di kedai kampung pun tidak ada.
"Alhamdulillah, saya akhirnya dapat juga membeli sepapan telur selepas mencari di merata-rata kedai,”katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar, di sini, pada Ahad.
Pekerja kilang, Azman Md Yusof, 52, menceritakan dia terpaksa ke beberapa kedai untuk mencari bekalan telur namun pulang dengan hampa apabila semuanya habis.
"Ketika ini, memang payah untuk mendapatkan bekalan telur dan saya telah ke beberapa pasar raya di Mergong namun mendapati kesemua rak kosong,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip memberitahu bekalan telur ayam diterima berkurangan berbanding sebelum ini.
Beliau yang juga peniaga runcit berkata, pembekal mengurangkan kira-kira 50 peratus bekalan telur ayam kepada peniaga.
"Sebagai contohnya, saya akan mendapat kira-kira 100 papan telur ayam pelbagai gred daripada pembekal sebelum ini, bagaimanapun kini hanya menerima lebih kurang 50 papan sahaja.
"Itupun, kami menerima bekalan pada waktu tengahari dan jikalau pengguna datang pada waktu pagi memang bekalan telur tiada langsung,”katanya.
Katanya, bagaimanapun, bekalan telur akan kehabisan dalam sekelip mata disebabkan ia mendapat permintaan daripada pengguna.
Lebih membimbangkan, katanya, peniaga kini turut dibebani kos penghantaran sebanyak 60 sen untuk satu papan telur ayam.
"Jadi, semakin banyak bekalan telur diterima peniaga maka semakin banyak kos perlu dikeluarkan, sekaligus menyebabkan kami menanggung kerugian,”katanya.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang sukar mendapatkan bekalan telur.
"Ketika ini, Kota Setar dan Kubang Pasu merupakan antara daerah paling terjejas namun kita jangkakan masalah sama akan berlaku di daerah lain,”katanya.
Mohd Yusrizal berkata, CAKE bimbang kekurangan bekalan telur ayam di pasaran berlaku disebabkan pihak tertentu menyimpan stok barangan itu.
"Kita tidak menuduh mana-mana pihak menyorok bekalan disebabkan ketika ini telur masih dibawah harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), bagaimanapun kita harap pihak berkenaan dapat membuat pemeriksaan,”katanya.
Beliau berkata, CAKE berharap masalah kekurangan bekalan telur ayam termasuklah di Kedah sejak beberapa hari lepas dapat diselesaikan secepat mungkin.
Tambah Mohd Yusrizal, difahamkan, bekalan telur import dari luar negara akan dilaksanakan kerajaan sebagai alternatif menampung kekurangan stok barangan itu.
Menurutnya, pihaknya berharap bekalan telur import akan dijual murah kepada pengguna sekiranya langkah berkenaan dilaksanakan kerajaan.